Aku selalu dengar orang pergi memancing kat bawah jambatan Secondlink, dan aku dengar hasil pancingan kat sana pun boleh tahan lah juga, ada juga terdengar cerita ikan siakap seberat 6 kilo berjaya di jinakkan di situ, jadi member aku, Naim pun mula lah merancang untuk trip kali ini. Trip kali ini di sertai oleh 6 orang iaitu Naim sebagai perancang, Shah Janggut, Wan Tong, Abang, Boy Kudung dan aku.
Kami memulakan perjalanan menuju ke jeti Pendas tepat pada pukul 7 pagi hari Ahad bersamaan 24 Julai 2011. Lebih kurang pukul 8 pagi kami semua tiba di jeti Pendas, disebabkan perut agak kosong jadi kami mengisi dulu perut yang lapar di warung yg berhampiran. Setelah selesai mengisi perut, kami pun terus menelefon Pak Ngah, orang yg menyediakan perkhidmatan bot untuk ke Jambatan Secondlink.
Setelah Pak Ngah tiba dijeti dan kami pun selesai memasukkan barang-barang ke dalam bot, Pak terus memulakan perjalanan menuju ke Jambatan Secondlink. Perjalanan menuju ke lokasi yang dituju memakan masa lebih kurang 10 minit, kami memilih untuk memancing di tiang 11 kerana menurut cerita orang yang pernah memancing disana, di tiang itu hasilnya lebih lumayan. tetapi disebabkan keadaan air yang surut pagi itu, kami terpaksa memanjat untuk naik ke tapak kaki jambatan tersebut, nasib baik lah Pak Ngah ada menyediakan tangga untuk kami memanjat ke atas.
Selesai menaikkan peralatan memancing, kami tidak menunggu lama dan terus menyiapkan joran masing-masing, umpan yang kami gunakan adalah udang hidup, udang kopek dan anak ikan yang kami naikkan. Tak lama kemudian kami berjaya menaikkan beberapa ekor ikan antaranya ikan bolos, gerut-gerut, tanda dan tuka. Tapi bila menjelang tengahari dan air pun sudah mula masuk, arus menjadi deras dan joran kami kurang di sentap ikan. masing-masing mula menjadi bosan dengan keadaan begitu, ada yang mengambil kesempatan untuk tidur dan ada yang mengambil gambar, ada juga yang tidak putus asa mencuba nasib dalam keadaan arus yang deras. Bila keadaan arus mula perlahan kami pun mula melabuhkan joran lagi dan hasil yang dapat kami naikkan adalah udang ketak, tebal pipi, tuka, kerapu, selar kuning dan usat.
Walaupun ini adalah kali pertama kami memancing disini, kami berpuas hati dengan hasil yang kami berjaya naikkan. Walaupun tak berjaya menaikkan ikan bersaiz besar, kami tetap berpuas hati dan merancang untuk kembali ke sini pada masa akan datang..
No comments:
Post a Comment