Nuffnang Ads

Monday, October 18, 2010

Satu joran cukup untuk menakluk satu lautan

KITA sering berdepan dengan kerenah nafsu hingga mendorong dan mendesak kepada hasrat untuk membawa seberapa banyak peralatan ketika turun memancing. Akibatnya, perkakasan itu memenuhi segenap ruang dalam bot atau dalam kereta dan van ketika dalam perjalanan ke jeti.

Ada sesuatu yang menarik ketika berbual dengan seorang pemancing veteran dari perkampungan nelayan di Besut, Terengganu baru-baru ini. Dia hanya cuma membawa beberapa peralatan memancing yang difikirkan perlu untuk satu-satu masa. Cara ini sudah tentu dianggap lebih selesa dan kita tidak perlu memikirkan untuk membuat pilihan yang terlalu banyak ketika di atas bot.

Sikap dan amalan ini dianggap paling sesuai. Justeru, saya mencadangkan kepada semua kaki pancing terutama kaki pancing udang galah di sungai supaya tidak mengamalkan membawa joran pancing sehingga sepuluh batang yang diikat dalam satu berkas macam kayu api!

Adalah lebih sesuai dan munasabah dengan menggunakan dua batang joran saja jika memancing di laut. Malah sikap membawa terlalu banyak joran juga dirasakan tidak selesa jika joran disambar ikan serentak.

“Tentu kelam kabut dibuatnya,” kata pemancing veteran itu yang mendapat gelaran Pokde Deris sambil menggayakan dua belah tangan menjulang joran pancing.

“Habis (kalau terlalu banyak joran) macam mana nak gulung tali?” katanya sambil ketawa besar mengingatkan peristiwa benar yang berlaku pada dirinya ketika muda dulu.

Sambil meletakkan dua batang joran lamanya di lantai serambi rumah, dia menggeleng kepala kerana terlepas dua rezeki yang sudah berada dalam tangan kerana tidak dapat mengawal kedua-dua jorannya dengan baik.

“Kalau satu joran, kata adat dah tentu mangsa dapat didaratkan. Tetapi ada yang tamak maka rezeki terlepas begitu saja,” suaranya kesal lalu mengingatkan kepada semua kaki pancing supaya tidak menggunakan joran pancing lebih dari dua batang dalam satu-satu masa.

Cara ini juga tidak menyusahkan rakan pancing yang lain selain tidak banyak tali yang dilabuhkan ke dasar yang boleh mengundang tali tersangkut antara satu sama lain dalam keadaan arus yang kadang-kadang bertukar sekelip mata.

Justeru, daripada pengalaman Pokde Deris adalah lebih jelas dan baik untuk kita menjadikan petua amalan dengan membawa peralatan memancing secara terhad demi memberikan keselesaan kita yang hendak memancing dan tidak mengganggu rakan pancing yang lain. Ini sekali gus tidak membawa beban yang berat kerana tidak semua peralatan berkenaan di gunakan pada satu-satu masa.

Keselesaan perlu diambil kira untuk memancing bukan beban yang banyak di bawa ketika hendak turun memancing sama ada di kolam, tasik, muara mahupun laut dan sungai.

info: akuamy (pancing.net)

No comments:

Post a Comment